MENGENAI KAMI

Adalah menjadi keperluan dan tanggungjawab bagi generasi muda agar dinamis dan mampu untuk bertindak sebagai aset negara. Ia penting agar visi dan misi Wawasan 2020 akan dapat direalisasikan. Oleh yang demikian, pembentukan imej dan kepimpinan mereka bagi memartabatkan maruah agama, bangsa, dan negara perlu dipupuk dan disemai dari sekarang.

Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) adalah persatuan berdaftar di bawah naungan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Malaysia, Y.B. Dato’Sri Mustapa Mohamed yang mempunyai objektif jelas penubuhan ke arah membentuk keperibadian serta imej para siswazah dan graduan sebagai pemangkin pada masa hadapan. HIMSAK yang dianggotai oleh lebih  ahli-ahli yang berdaftar merupakan persatuan mahasiswa yang bergerak aktif dalam mencorak aktiviti ilmiah dan kemasyarakatan bagi menyokong penuh wawasan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Razak yang ingin melahirkan kelompok modal insan mahasiswa yang glokal dan dapat berdaya saing.

Himpunan Siswazah Kelantan telah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran. HIMSAK secara rasminya telah ditubuhkan pada 1 Jun 2007. HIMSAK merupakan salah satu organisasi kepimpinan peringkat kebangsaan yang mana dianggotai oleh kelompok mahasiswa dan lepasan graduan negeri Kelantan dalam usaha untuk menguat dan memantapkan jalinan kerjasama antara siswazah selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara mereka.

Keruntuhan akhlak dan moral yang menular di kalangan remaja ini turut dikaitkan dengan kepincangan pendidikan dan pengetahuan agama yang semakin disisih oleh masyarakat, kerana sikap lepas tangan dan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. Kesannnya, pencapaian akademik mereka “ibarat hidup segan, mati tak mahu”. Lebih menyedihkan lagi golongan remaja yang terjerumus ini majoritinya terdiri dari kumpulan Bumiputera Melayu. Justeru itu, kegagalan untuk membendung gejala ini akan memberi impak yang amat besar dalam usaha kerajaan untuk membentuk generasi berdinamik bagi mengapresiasikan visi wawasan ke arah dunia alaf baru.

Atas kesedaran ini, Himpunan Siswazah Kelantan dengan kerjasama penuh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ingin menyumbangkan bakti dan tenaga kepada negara untuk sama-sama memperkukuh dan memperteguhkan jati diri golongan muda yang terdiri dari remaja dan belia ini  ke arah visi wawasan yang murni, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, demi martabat agama, bangsa dan negara melalui program-program yang telah dirancang.

simplecatch-sidebarlayout:
no-sidebar